Sunday 6 March 2011

PENDAHULUAN

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah.. Terutama sekali saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah izin dan inayahnya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang telah diberikan. Saya Siti Nazihah binti Mat Yusoff dari program BM223 dan group BMB2Bc  telah memilih tajuk berkenaan tokoh imam dan dalam masa yang sama beliau ialah seorang guru dan merupakan imam di Masjid Darul Furqan, Machang, Kelantan. Beliau ialah Ramli bin Din yang merupakan salah seorang yang amat rapat dengan keluarga saya serta mudah untuk diajak berbincang. Sesungguhnya, pekerjaan guru dan imam adalah sesuatu pekerjaan yang mulia kerana mereka merupakan penyampai ilmu kepada orang sekeliling serta menyempurnakan fardhu kifayah dalam kehidupan seharian.

PENGHARGAAN

Dengan ini, saya Siti Nazihah binti Mat Yusoff sangat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan keizinanNya yang telah memberikan kesihatan akal dan fikiran kepada saya sehingga dapat menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan kepada saya. Disini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga saya berjaya menyiapkan tugasan tanpa ada banyak halangan dan cabaran yang ditempuhi. Terutama sekali ucapan ini di tujukan kepada keluarga tercinta kerana telah banyak memberikan dorongan dan semangat untuk saya menyiapkan tugasan tanpa ada perasaan putus asa. Kepada ibu bapa tersayang, Mat Yusoff  bin Deris dan Azizah binti Bakar, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ucapan terima kasih kerana mereka berdua merupakan insan penting dan tulang belakang bagi saya kerana telah banyak menolong dan mendorong saya dalam menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih juga turut di tujukan kepada tokoh pilihan kerana telah mengorbankan masa untuk di temuramah dan sesungguhnya, tanpa beliau mana mungkin saya dapat menyiapkan tugasan ini. Seterusnya ucapan terima kasih juga ditujukan kepada ustaz Abdul Aziz bin Hajrin yang mengajar subjek CTU dan merupakan pengasas bagi tugasan ini. Beliau juga telah banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami sehingga tercetusnya ilham untuk saya memilih tajuk tokoh imam yang berjaya. Sekiranya ustaz tidak terlibat dalam memberikan kami tunjuk ajar, maka tidak dapatlah kami menyiapkan tugasan ini dengan sempurna. Selain itu, tidak lupa juga kepada kawan-kawan seperjuangan terutamanya rakan serumah iaitu Intan Nadia, Siti Halwanis, Siti Nazilah dan Nor Fadhila kerana telah banyak membantu dalam proses menyiapkan tugasan ini bersama-sama. Mereka juga telah banyak membantu dan memberikan pandangan masing-masing serta berkongsi pendapat tentang pelbagai masalah dan halangan yang menimpa sepanjang menyiapkan tugasan ini. Sesungguhnya tanpa mereka semua sudah pasti tugasan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin seperti yang diharapkan. Jasa dan pengorbanan mereka tidak akan dapat saya lupakan sampai akhir hayat dan semoga Allah s.w.t merahmati serta memberkati mereka semua didunia dan diakhirat. InsyaAllah. 

LATAR BELAKANG TOKOH

Disini saya ingin menerangkan serba sedikit berkenaan latar belakang tokoh yang telah menjadi pilihan saya dalam tugasan ini. Nama diberi Ramli bin Din atau lebih mesra dipanggil dengan gelaran ustaz. Beliau telah di lahirkan di Kampung Sering, Kota Bharu, Kelantan pada tanggal 25 Februari 1961. Beliau mempunyai beberapa tahap pendidikan sehingga ke universiti dan akhirnya berjaya mencapai cita-cita menjadi seorang guru. Pelajaran pertama yang beliau perolehi ialah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sering atau lebih nama lain nya ialah Sekolah Rendah Manak Gong, Kota Bharu sehingga darjah enam. Seterusnya, beliau telah melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di SMU (A) Tarbiah Mardhiah, Panchor. Setelah menamatkan pengajian di SMU (A) Tarbiah Mardhiah, Panchor semasa tingkatan tiga, beliau telah mendapat tawaran ke Maahad Muhammadi Merbau sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan akhir. Di atas usaha bersungguh - sungguh dan kebijaksanaannya, beliau akhirnya telah berjaya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di Universiti Al - Azhar, Mesir dalam bidang perguruan. Setelah mendapat segenggam ijazah di sana, beliau telah pulang ke Malaysia untuk berkhidmat sebagai guru di SMU (A) Labok, Machang, Kelantan. Setelah beberapa tahun berkhidmat, beliau telah di naikkan pangkat kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM). Pelbagai kerenah pelajar beliau telah atasi dan tangani akhirnya beliau sekali lagi telah di naikkan pangkat daripada Penolong Kanan kepada Pengetua di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan. Sehingga kini beliau masih lagi berkhidmat di sana sebagai Pengetua. Beliau telah menamatkan zaman bujang nya dan telah berkahwin dengan Rohani binti Abdullah pada tahun 1991 kira - kira 20 tahun yang lepas. Isterinya juga merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Agama Wataniah, Machang, Kelantan. Mereka telah di anugerahkan enam orang cahaya mata dan anak - anak juga di anugerahkan kebijaksanaan sepertinya kerana telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lepas. Kini, beliau telah menetap di Machang yang beralamat Lot 2537 Kampung Lalang Luas, Labok, 18500, Machang, Kelantan dan agak berdekatan dengan rumah saya.

                          Ustaz Ramli bin Din

SEBAB - SEBAB BERMINAT

Semasa sesi temuramah bersama beliau, terdapat beberapa soalan yang saya ajukan berkenaan sebab - sebab beliau berminat menjadi seorang guru dan dalam masa yang sama merupakan imam di Masjid Darul Furqan. Setelah itu, beliau dengan tenang menjawab ini semua adalah kerana beliau ingin mendalami ilmu agama islam yang telah di fardhukan ke atas setiap manusia. Beliau berkata, sesungguhnya ilmu itu pelita hidup dan amat penting bagi setiap insan di dunia serta merupakan bekalan untuk akhirat kelak. Sekiranya kita mempunyai ilmu dan amalan baik yang cukup di dunia sudah tentu kita akan tergolong di dalam golongan orang - orang yang beriman di akhirat kelak serta akan terselamat daripada cengkaman api neraka yang amat dasyat. Tambahnya lagi, beliau ingin berkongsi dan memberikan tunjuk ajar kepada insan dan remaja pada zaman kini dengan ilmu dan amal yang beliau miliki dan terpahat di hati. Bagi nya, apabila kita berkongsi ilmu dan pengetahuan yang di miliki dengan orang lain, kita akan dapat mengukuhkan lagi pengetahuan dan akan mendapat pengetahuan tambahan daripada insan lain serta dapat menambahkan pahala ibadat kepada Allah S.W.T..

MASALAH YANG DI HADAPI

Sesungguhnya setiap insan di dunia ini akan menghadapi masalah samada masalah besar atau kecil begitu juga dengan beliau. Kemiskinan hidup merupakan masalah pertama yang beliau hadapi semenjak dari kecil lagi. Beliau berkata, ibu bapa nya hanyalah melakukan kerja - kerja kampong sahaja dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi untuk menampung mereka sekeluarga kerana beliau mempunyai adik beradik yang ramai dan masih bersekolah rendah dan menengah serta di universiti. Oleh itu, pengalaman kesusahan hidup keluarga telah mendewasakan dan mematangkan fikiran beliau untuk terus berusaha bersungguh - sungguh hingga berjaya dalam hidup dan seterusnya dapat membalas jasa ibu dan bapa beliau kerana telah bersusah payah selama ini untuk menyara hidup mereka sekeluarga. Kini, beliau telah membuktikan kepada orang ramai bahawa kemiskinan hidup bukanlah penghalang untuk kita mencapai kejayaan diri sendiri. Di tinggalkan cerita tentang masalah kemiskinan hidup, beliau beralih pula kepada masalah disiplin para pelajar di sekolah. Sebagai bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan kini sebagai Pengetua, hampir setiap hari beliau dilanda dengan pelbagai masalah disiplin dan pelbagai jenis karenah pelajar. Menurutnya, begitu susah untuk beliau mengurus dalam kelompok pelajar yang ramai dan hampir beribu orang pelajar tambahan pula setiap orang mempunyai perangai dan sikap yang berbeza. Seterusnya, beliau juga sudah pasti mempunyai masalah tentang sikap anak - anak di rumah yang mempunyai enam jenis karenah tersendiri. Katanya, bukan senang untuk mengurus pelajar dan juga anak - anak  kerana pelbagai cabaran yang telah di lalui sepanjang mendidik dan setelah bergelar bapa. Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang telah di tempuhi sepanjang ranjau kehidupan, tetapi beliau telah menjalani dan menyelesaikan masalah itu dengan tenang dan dengan menggunakan cara yang tersendiri. 

CARA PENYELESAIAN

Setiap masalah sudah pasti ada cara penyelesaiannya yang tersendiri walau sebesar mana sekali pun masalah itu. Kita harus ingat, sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa bersama kita setiap masa. Begitulah kata - kata yang di berikan kepada saya setelah bertanyakan tentang cara penyelesaian masalah beliau. Sememangnya beliau seorang yang tabah dan sabar menghadapi dugaan hidup sejak dari kecil lagi. Di samping itu, beliau sentiasa menganggap bahawa permasalahan adalah sebagai cabaran hidup terutamanya masalah kemiskinan hidup semasa sedang menuntut ilmu dan masalah untuk menguruskan disiplin dalam kalangan para pelajar. Seterusnya, beliau sentiasa menguatkan semangat untuk terus berjaya dan selalu mengamalkan amalan - amalan sunat seperti berpuasa sunat serta solat sunat terutamanya sunat hajat, tahajjud untuk memohon pertolonganNya. Beliau berpesan bahawa sekiranya kita sering melakukan amalan - amalan sunat, insyaAllah hati dan jiwa kita akan berasa tenang dan dengan keizinan Allah, semua masalah akan dapat di selesaikan dengan cara yang baik asalkan kita sentiasa mengingati dan mendekatiNya. Selain itu, beliau sentiasa memelihara diri dari melakukan perkara yang tidak di redhai Allah dan sentiasa bertaqwa kepadaNya bagi meningkatkan motivasi di dalam diri. Beralih pula kepada masalah yang beliau sering kali hadapi ketika di sekolah seperti masalah disiplin dan kedegilan pelajar untuk menuntut ilmu dan menerima ajaran beliau dengan hati yang terbuka. Bagi mengatasi masalah sedemikian, beliau tidak pernah sesekali mengenakan hukuman yang berat seperti menghukum dan memberikan denda kepada para pelajar. Ini kerana, remaja mempunyai jiwa yang agak lemah dan akan mudah memberontak sekiranya menggunakan kekerasan untuk menghukum kesalahan yang di lakukan. Oleh itu, beliau sentiasa menggunakan pendekatan yang baik terhadap pelajar seperti memberikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar yang secukupnya agar pelajar tidak merasa terbeban dan sakit hati sekiranya hukuman denda di kenakan keatasnya. Tambahnya lagi, nasihat dan tunjuk ajar yang baik dapat melembutkan jiwa pelajar agar mereka akan menyedari dan tidak sesekali melakukan kesilapan yang sama. Dengan itu, masalah disiplin akan dapat di kikis dari semasa ke semasa dan seterusnya dapat membentuk para pelajar yang berdisiplin serta remaja yang mengikut sunnah dan ajaran agama dapat di wujudkan.


SUMBANGAN YANG DIBERIKAN

Sepanjang perjalanan hidup, beliau telah banyak berkorban dan menabur bakti kepada Maahad Tahfiz Sains Nurul Iman dan Masjid Darul Furqan. Antara sumbangan utama yang beliau hadiahkan kepada para pelajar ialah, beliau sentiasa member tunjuk ajar dan berkongsi ilmu pengetahuan kepada para pelajar. Selain itu, beliau juga telah banyak menyumbangkan sedekah dan sentiasa menolong sekiranya terdapat pelajar yang susah dan tidak berkemampuan. Seterusnya, beliau juga telah banyak menyumbangkan dana dalam membangun dan memajukan lagi Masjid Darul Furqan. Baginya, sekiranya kita melakukan kebaikan, maka kita akan di balas dengan kebaikan dan akan mendapat ganjaran istimewa daripada Allah S.W.T.. Oleh itu, beliau berasa seronok dan sentiasa tenang dalam menunaikan fardhu kifayah. Tambahnya lagi, kehidupan di dunia tidak akan beerti sekiranya kita tidak melakukan amal kebaikan. Di antara sumbangan lain yang beliau telah sumbangkan kepada penduduk kampung ialah sentiasa memberikan ceramah motivasi dan bimbingan kepada mereka yang mempunyai masalah dan lain - lain  lagi. Beliau akan memberikan ceramah di Masjid Darul Furqan terutamanya pada malam jumaat dan kepada sesiapa yang mempunyai masalah dan ingin mendapatkan nasihat daripada beliau, mereka akan berkunjung ke rumah beliau untuk mendapatkan khidmat nasihat daripadanya. Selama ini, kebanyakan masalah dan konflik antara penduduk kampung telah dapat beliau selesaikan dengan sebaik mungkin. Ketika sesi temuramah, beliau telah mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T. kerana telah mengurniakan beliau akal fikiran dan fizikal yang sihat serta membolehkan beliau berkhidmat dan menolong mereka yang memerlukan pertolongan serta tunjuk ajar daripadanya. Baginya, segala kebolehan itu hanyalah di pinjam kepada beliau kerana semua itu adalah milik kekal Allah S.W.T.. Oleh itu, beliau memberikan nasihat bahawa kita hendaklah sentisa bersyukur dengan kurniaan yang telah dikurniakan kepada kita. Tambahnya lagi, jikalau kita sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan dengan orang lain, nescaya kita akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada.